Thursday, December 5, 2013

KITA

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. 

         Kelmarin ada menulis status panjang di facebook. Lalu teringat pulak tentang blog yang neglected ni. Apa yang ditulis sini mudah nak diakses kembali. Maka yang dirasa dapat disimpan bukan sekadar di kotak memori. Tapi boleh dilewati dan dirasai kembali.

         Yang tercatat di bawah ini sesuatu yang dirasakan satu ketika dulu. Bila difikir biarlah konteksnya tidak disertakan kerana ia mungkin akan mengekang pengajaran bila diikat dengan satu kejadian saja.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
KITA

Kita bagaikan satu badan. Kau dan aku, kita bernafas dengan udara yang sama. Disuburi dengan darah yang sama. Mungkin pada manifestasi kita berbeza, tapi pada dasarnya kita dibina dengan zarah dan zat  yang sama. Walau kita punya cara, rasa, tempat dan fungsi sendiri, badan ini punya hati yang menyatukan. Punya sistem saraf yang menghantarkan isyarat, aku sakit atau kau yang sakit.

Kata orang dulu dulu, cubit paha kanan paha kiri pun terasa. Ada benarnya, kalau kaki kiri sakit bukankan kaki kanan juga yang perlu menampung bebannya ? Kita ini terikat dengan asas yang sama maka kitalah yang perlu bersatu sampai sembuh. Bolehkan si kaki kanan merajuk dan tak mahu membantu si kaki kiri ? Bagaimana badan sebagai satu entiti nak bergerak bila itu terjadi ? Mahukan kita semua berdiam diri dalam kelumpuhan ?

Misalan pula seperti  tubuh diuji dengan diabetes tahap teruk hingga sarafnya tak bisa menyampaikan maklumat dari hujung kaki. Maka kaki yang terpijak duri merana sendiri... tanpa pengetahuan sang kepala, sang hati dan yang lainnya. Jika tak tahu... tak adalah sang tangan yng datang membantu.Pabila ia berdarah ia mengalir tak berhenti. Lantas nanti lukanya akan parah bernanah mereput sepi.

Apa pula terjadi kalau seluruh tubuh sedar, tapi sang kepala buat tak endah, "Ah, cuma si kaki yang terluka. Biarkan saja ia terlalu kecil untuk difikirkan, kalau jantungku yang sakit barulah serius.". Sang tangan  pula malas merawat, sang kaki sebelah lagi pula tak mahu berkongsi bebanan. Tanpa meraka semua sedar, luka nanah yang kecil itulah jika dibiarkan akan menjadi racun bisa yang meresapi setiap anggota tubuh. Bukan saja kelumpuhan yang akan datang, kematian pun boleh terjadi.


Kita bukan begitu. Kita satu badan yang teguh utuh, saling menyokong. Aku akan selalu menyokong kau. Hanya perlu hantarkan isyarat.