Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.
Kelmarin
ada menulis status panjang di facebook. Lalu teringat pulak tentang blog yang
neglected ni. Apa yang ditulis sini mudah nak diakses kembali. Maka yang dirasa
dapat disimpan bukan sekadar di kotak memori. Tapi boleh dilewati dan dirasai
kembali.
Yang
tercatat di bawah ini sesuatu yang dirasakan satu ketika dulu. Bila difikir
biarlah konteksnya tidak disertakan kerana ia mungkin akan mengekang pengajaran
bila diikat dengan satu kejadian saja.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
KITA
Kita bagaikan satu badan. Kau dan aku,
kita bernafas dengan udara yang sama. Disuburi dengan darah yang sama. Mungkin
pada manifestasi kita berbeza, tapi pada dasarnya kita dibina dengan zarah dan
zat yang sama. Walau kita punya cara, rasa, tempat dan fungsi sendiri,
badan ini punya hati yang menyatukan. Punya sistem saraf yang menghantarkan
isyarat, aku sakit atau kau yang sakit.
Kata orang dulu dulu, cubit paha kanan
paha kiri pun terasa. Ada benarnya, kalau kaki kiri sakit bukankan kaki kanan
juga yang perlu menampung bebannya ? Kita ini terikat dengan asas yang sama
maka kitalah yang perlu bersatu sampai sembuh. Bolehkan si kaki kanan merajuk
dan tak mahu membantu si kaki kiri ? Bagaimana badan sebagai satu entiti nak
bergerak bila itu terjadi ? Mahukan kita semua berdiam diri dalam kelumpuhan ?
Misalan pula seperti tubuh diuji
dengan diabetes tahap teruk hingga sarafnya tak bisa menyampaikan maklumat dari
hujung kaki. Maka kaki yang terpijak duri merana sendiri... tanpa pengetahuan
sang kepala, sang hati dan yang lainnya. Jika tak tahu... tak adalah sang
tangan yng datang membantu.Pabila ia berdarah ia mengalir tak berhenti. Lantas
nanti lukanya akan parah bernanah mereput sepi.
Apa pula terjadi kalau seluruh tubuh
sedar, tapi sang kepala buat tak endah, "Ah, cuma si kaki yang terluka.
Biarkan saja ia terlalu kecil untuk difikirkan, kalau jantungku yang sakit
barulah serius.". Sang tangan pula malas merawat, sang kaki sebelah
lagi pula tak mahu berkongsi bebanan. Tanpa meraka semua sedar, luka nanah yang
kecil itulah jika dibiarkan akan menjadi racun bisa yang meresapi setiap
anggota tubuh. Bukan saja kelumpuhan yang akan datang, kematian pun boleh
terjadi.
Kita bukan begitu. Kita satu badan yang
teguh utuh, saling menyokong. Aku akan selalu menyokong kau. Hanya perlu
hantarkan isyarat.